Thursday, November 7, 2019

Belajar Tajwid Dengan Google Forms


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera buat mereka yang sentiasa inginkan kedamaian dan ketenangan jiwa. Ini adalah entry saya yang pertama dalam penulisan blog yang berbentuk akademik. Sebelum ini saya pernah mengunjungi blog-blog akademik yang lain untuk mendapatkan maklumat berkaitan ilmu pendidikan dan juga informasi yang berguna kepada guru-guru. Sangat banyak blog percuma yang tersedia di internet cuma tinggal untuk digunakan sahaja. Sebagai permulaan saya memilih Blogger sebagai penyedia laman blog percuma untuk digunakan untuk tujuan berkongsi pengalaman menggunakan medium teknologi dalam PdPc dan juga PAK21 yang sangat popular sekarang ini.

Pengalaman belajar ilmu tajwid di zaman sekolah rendah dan menengah dahulu sangat membantu untuk digunakan dalam pengajaran di zaman teknologi ini. Pelajar-pelajar zaman sekarang lebih berminat dengan teknologi dan permainan yang menguji minda berbanding membaca dan penerangan secara tradisional. Ini adalah cabaran terhadap guru masakini yang perlu seiring dengan peredaran zaman yang bergerak pantas dan cepat. Dalam mendepani generasi yang lebih lutsinar dalam penerimaan maklumat, sebagai guru kita perlu peka dan bersedia mendapatkan kaedah terbaik dalam penyampaian ilmu pengetahuan terutama bidang ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah yang semakin dilupakan.

Apakah hukum belajar ilmu tajwid? dan bagaimana pula hukum mengamalkannya?

Di sini saya terangkan sedikit maklumat berkaitan ilmu tajwid sebelum menerangkan kaedah pengajaran menggunakan teknologi. Hukum belajar ilmu tajwid adalah fardhu kifayah manakala hukum mengamalkannya adalah fardhu ain. Dalam erti kata lain setiap orang Islam wajib belajar ilmu tajwid kerana kita wajib menunaikan solat lima waktu yang mana di dalam solat terdapat rukun qauli (bacaan) dan wajib membaca surah al-Faatihah secara bertajwid.

Sudah tahu hukumnya wajib, jom kita belajar sedikit demi sedikit lama-lama jadi pandai mengaji!

Untuk pengajaran ilmu tajwid kali ini saya akan mulakan dengan penggunaan Google Form sebagai platform untuk menilai sejauh mana pelajar-pelajar faham berkaitan hukum-hukum tajwid bermula dari hukum nun mati dan tanwin, hukum mim mati dan juga hukum mad. Sebenarnya hukum-hukum ini telah pun mereka belajar sedari awal sekolah rendah dan kelas fardhu ain. Namun, masih terdapat dikalangan mereka yang belum menguasai sepenuhnya hukum-hukum tajwid yang asas ini. Apakah sistem pembelajaran atau kaedah yang mereka belajar dahulu tidak berkesan? Dimana kesilapan yang berlaku sebenarnya? Jawapannya ada pada mereka sendiri. Sebagai guru yang mengajar ilmu kepada anak bangsa pasti inginkan kefahaman dan kejayaan anak didik dalam subjek yang diajar. Tetapi, kefahaman dan kejayaan perlu diusahakan oleh pelajar sendiri.

Di sini saya kongsikan penggunaan Google Form dalam pengajaran ilmu tajwid.

Jom BerKahoot!


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Semoga kita berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. Sebelum ini saya ada post berkenaan belajar tajwid dengan menggunakan Google Form sebagai medium untuk menilai mereka yang belajar tajwid. Pada entry yang kedua ini saya ingin menggunakan aplikasi yang agak popular dikalangan guru-guru masakini iaitu Kahoot!.

Dengan Kahoot! kita boleh mencipta kuiz-kuiz sendiri dengan cepat dan pantas. Permainan kuiz ini boleh digunakan dimana-mana, pada bila-bila masa dan dengan sesiapa sahaja. Penggunaan tidak terbatas disekolah sahaja, bahkan ianya sangat fleksibel.

Terdapat beberapa aplikasi Kahoot! ini antaranya :

1. Quiz creation app
2. Live game app
3. Trivia app
4. Homework app
5. Remote training app

Biasanya kita menggunakan Quiz creation app dan juga Live game app sahaja untuk permainan disekolah. Oleh itu, saya mencipta beberapa soalan berdasarkan dua jenis app ini untuk menguji kemampuan pelajar dalam menjawab soalan tentang ilmu tajwid.

Apa Itu Quizziz?


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Semoga kita sentiasa diberi rahmat dan kasih sayang daripada Allah subhanahu wa taala. Ini adalah entry ketiga saya selepas menceritakan pengalaman menggunakan Google Form dan Kahoot!. Terima kasih kerana sudi menjengah ke blog saya yang tidak seberapa ini. Kali ini saya hendak mencuba pula aplikasi yang hampir sama atau lebih kurang fungsinya dengan Kahoot! iaitu Quizziz.

Tanpa kita sedari, Quizziz telah digunakan oleh 10 juta orang pelajar, guru dan ibu bapa yang bertujuan untuk pembelajaran disekolah terutamanya dan juga dirumah. Ya, sangat menabjubkan! Ianya banyak digunakan sebagai kuiz dan latihan yang berbentuk permainan interaktif dan sangat menyeronokkan. Sebagai pengenalan terhadap permainan baharu ini, saya telah mencipta beberapa soalan yang berkaitan ilmu tajwid dengan menggunakan tools Quizziz ini.

Ternyata tools ini sangat mudah digunakan. Dengan hanya berbekalkan talian internet dan komputer meja, laptop dan tablet mahupun telefon pintar kita sudah boleh mencipta permainan mengikut tajuk yang diingini dan bermain dengan sesiapa sahaja yang berminat. Terdapat berjuta permainan percuma  meliputi semua subjek yang sedia ada termasuklah matematik, sains, sejarah, geografi dan juga pengetahuan am.

Pembelajaran disekolah sangat sesuai menggunakan tools ini kerana ianya membolehkan semua pelajar bermain serentak dengan kaedah multiplayer dan juga tugasan individu. Soalan-soalan juga boleh didapati didalam simpanan yang telah sediakan jika kita tidak mahu mencipta sendiri soalan tersebut.

Tools ini sangat membantu guru-guru dalam melaksanakan pembelajaran abad ke-21.